Jenama Grab Me-Lah! bukan tercetus daripada strategi pemasaran yang tersusun rapi, apatah lagi pelan bisnes yang canggih. Ia bermula daripada kehilangan dan luka yang dalam. Sewaktu syarikat penerbitan buku tempat saya bekerja terpaksa ditutup, jawatan sebagai Pengurus Penerbitan yang saya pegang terpaksa saya lepaskan. Kehilangan kerjaya yang begitu dekat dengan jiwa saya hampir meragut semangat dan identiti diri.
Namun, saya tidak mahu terus tenggelam dalam kesedihan. Cadangan bekas majikan untuk mencuba nasib sebagai pemandu Grab pada awalnya kedengaran aneh, tetapi itulah pintu kepada lembaran baharu dalam hidup saya. Dunia yang langsung tidak pernah saya jangka membuka ruang untuk saya mengenali manusia dan kehidupan dari sudut pandang yang berbeza.
Setiap hari di jalan raya adalah sebuah pengalaman. Setiap penumpang, setiap perbualan, menjadi cermin kepada pelbagai sisi kehidupan. Di sinilah benih kepada Grab Me-Lah! mula bercambah iaitu dari keinginan untuk menulis dan berkongsi kisah-kisah yang sering terpinggir. Ia bukan hanya tentang saya, tetapi tentang mereka yang jarang tercatat di mana-mana.
Pada awalnya, pemanduan itu hanyalah cara untuk meneruskan hidup. Namun lama-kelamaan, setiap detik yang saya lalui terlalu bermakna untuk dilupakan. Bertemu dengan pelbagai latar belakang manusia telah membuka mata dan hati saya. Penulisan di media sosial menjadi medium luahan dan terapi. Daripada coretan-coretan kecil itulah akhirnya terbina idea untuk menghimpunkan kesemuanya ke dalam sebuah buku.
Lahirlah Grab Me-Lah! dalam bentuk naskhah. Ia bukan sekadar projek menjana pendapatan, tetapi jambatan antara pengalaman saya dan pembaca. Dari hanya duduk di balik stereng, saya kini berdiri sebagai seorang penulis yang membawakan hikmah dari jalanan.
Jiwa penulis tidak pernah mati. Walaupun kerjaya saya berubah, naluri menulis yang telah wujud sejak zaman persekolahan terus hidup. Setiap kisah yang saya kutip sepanjang perjalanan iaitu tentang kehilangan, perjuangan, kasih sayang, pengorbanan dan harapan telah menjadi bahan bakar untuk saya terus menulis. Bukan untuk populariti, tetapi sebagai usaha menyembuh, berkongsi dan menyentuh hati pembaca.
Inspirasi saya datang daripada insan-insan biasa iaitu penumpang, rakan pemandu, bekas majikan dan juga rakan yang rapat. Ada kalanya, suara-suara sinis menganggap pekerjaan saya bukan “elok” untuk seorang wanita berpendidikan. Namun saya percaya bahawa kerja yang halal, walaupun sederhana, ia adalah satu kemuliaan. Keberanian untuk terus berdiri di tengah pertentangan akhirnya melahirkan karya dan jenama yang membangkitkan semangat kepada mereka yang senasib.
Karya Grab Me-Lah! pertama kali diterbitkan pada tahun 2019, sewaktu dunia diselubungi ketidakpastian. Dalam waktu ramai yang hilang pekerjaan dan arah tuju, saya juga pernah berdiri di tempat itu. Namun buku ini hadir sebagai bukti bahawa kehidupan boleh dibina semula. Ia menjadi terapi, bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada pembaca yang memerlukan harapan baru.
Permintaan untuk menerbitkan semula buku ini masih berterusan hingga ke hari ini. Tambahan pula, penghargaan daripada pihak Grab yang memilih saya sebagai salah satu ikon Sis Boleh pada tahun 2024 membuktikan bahawa jenama Grab Me-Lah! masih memberi impak dan terus relevan.
Saya percaya bahawa setiap orang punya kisah yang berharga. Jangan malu dengan perjalanan hidup sendiri. Apabila ditulis dengan jujur, ia pasti menyentuh hati orang lain. Tidak perlu tunggu sempurna untuk bermula, cukup dengan satu catatan ringkas di media sosial. Kadangkala, suara kecil kita itu mungkin suara yang sangat diperlukan oleh orang lain.
Hari ini, saya bukan lagi hanya seorang pemandu Grab. Saya adalah bukti hidup tentang bagaimana kehilangan boleh menjadi titik permulaan kepada satu kebangkitan. Daripada kesedihan, hadir keberanian. Dan dari keberanian, tumbuh harapan.
Grab Me-Lah! bukan sekadar tajuk buku. Ia adalah simbol iaitu sebuah jenama kehidupan yang membawa mesej: wanita biasa pun boleh jadi luar biasa, asalkan tidak pernah berhenti berusaha.
Nurdilla Zaini – Penulis Buku Grab Me-Lah!
Leave a Reply