Syaizul Amal pencetus jenama Ain Maisarah 183 judul buku remaja.

Sepanjang menjadi usahawan ini sejak dari tahun 2000, saya telah membina beberapa jenama bagi setiap industri yang saya tekuni.

Sekarang saya aktif dalam industri buku dan jenama yang sedang dibina adalah jenama Ain Maisarah. Saya mengambil masa 2 tahun untuk menaikkan nama Ain Maisarah bermula tahun 2006 dan kini masih mengekalkan jenama ini sebagai penulis novel remaja nombor 1 Malaysia.

Ain Maisarah adalah penulis novel remaja dengan pelbagai rekod cemerlang, mempunyai 183 judul buku remaja. Buku-bukunya kekal laku keras. Pengikutnya paling ramai dalam kalangan penulis novel remaja yang lain.

Setelah itu saya beralih membangunkan jenama BLINK BOOK bermula 2011 sebagai penerbit novel remaja no 1 Malaysia.

BLINK BOOK hanya fokus untuk pasaran remaja, setiap tahun kami masuk ke 1,000 sekolah seluruh Malaysia memperkenalkan jenama BLINK dan memperjuangkan tabiat membaca dan menulis menggunakan bahasa melayu yang betul.

Alhamdulillah jenama Ain Maisarah dan BLINK BOOK ini berjaya dikekalkan sehingga kini, usaha mempertahankan jenama ini masih diteruskan.

Ada beberapa prinsip dan kaedah kerja yang saya gunakan berkali-kali dalam usaha menukarkan idea menjadi kandungan dan seterusnya menjadi duit.

Pertama, menggunakan kaedah TIRUVASI dalam menjana idea-idea yang boleh jual.
Kedua, memastikan semua checkpoint dalam rantai nilai boleh dilepasi.
Ketiga, banyakkan USP bermula dari awal kandungan itu dibangunkan.

Saya memastikan senarai semakan ini diambil tindakan oleh ahli-ahli pasukan saya.

Saya mahu kumpul pahala sebanyak mungkin. Kandungan ini adalah juga dakwah yang saya tinggalkan apabila saya kembali ke alam akhirat.

Setiap kandungan perlu membawa manfaat yang jelas, saya suka melihat manfaat itu dizahirkan hadapan depan mata saya.

Saya juga suka melihat respon atau impak kandungan saya kepada pelanggan. Reaksi mereka mendorong saya mencipta lebih banyak kandungan.

Semasa membangunkan jenama, mentor saya adalah pemerhatian saya dalam projek-projek bersama syarikat telekomunikasi seperti MAXIS, DIGI dan CELCOM. Saya terlibat dalam beratus projek yang setiap satunya memberikan pelbagai panduan dan pemahaman saya kepada proses penjenamaan.

Walaubagaimanapun pada tahun 2010 ke atas, saya mula mengikuti beberapa mentor yang sentiasa berkongsi ilmu di Facebook, Youtube dan membaca buku tulis mereka.

Ini senarai TOP 5 saya :

1) Puan Ainon Mohd
2) Tuan Azizan Osman
3) Tuan Steve Jobs
4) Tuan Seth Godin
5) Tuan Robert Kiyosaki

Ia sudah bermula lama, passion/semangat membangunkan kandungan ini tidak berlaku sekarang.

Semangat ini tercetus sejak awal-awal penglibatan saya setelah tamat pengajian di UKM tahun 1999, saya terlibat dalam membangunkan kandungan portal internet, beralih kepada kandungan mobile, kemudian kandungan musik, dan disambung pula kandungan filem, dan seterusnya kepada kandungan buku.

Jadi secara keseluruhan, saya tidak pernah meninggalkan industri kandungan ini, saya hanya beralih medium dalam penyampaian kandungan-kandungan ini.

Sekarang saya tidak perlukan “passion” untuk meneruskan semua ini. Ia sudah menjadi rutin, umpama kita berus gigi. Adakah memberus gigi setiap pagi memerlukan passion?

Setiap satu perkara itu dibina dengan berperingkat secara berfasa-fasa. Ia adalah fitrah yang telah ditetapkan oleh Tuhan Pencipta Seluruh Alam.

Jadi kita jangan skip peringkat yang ditetapkan itu, jika kita skip, maka hasilnya akan rapuh dan tidak stabil.

Mulakan sesuatu dengan niat yang betul, begin with end in mind. Kemudian konsisten dan bersabar membangunkannya. Fokus-fokus-fokus untuk mendapat impak maksima.

Selain mengatur strategi dunia, saya juga cuba menjalankan pelan-pelan untuk akhirat. Sekarang menguruskan BROKER AKHIRAT sebuah NGO yang menjadi orang tengah menjual saham-saham akhirat kepada sesiapa sahaja.

Niatnya agar dapat meninggalkan legasi dunia akhirat kepada semua. Paling utama saya merancang agar dapat ditinggalkan 3 perkara iniapabila saya telah tiada nanti : ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah yang berterusan, dan anak-anak soleh yang mendoakan keselamatan.

Semoga dipermudahkan Ya Allah.

Terima kasih.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.